Thursday, April 8, 2010

RENCANA UTUSAN MALAYSIA 9 April 2010 / 24 Rabiul Akhir 1431

Berhujah, berjuang tentang hak Melayu

Berkeris tajam berlidah petah
Memiliki pula emas tempawan
Sempurnalah syarat untuk berhujah
Pertahankan warisan tergadai jangan

ANTARA pelbagai isu yang disentuh oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad sewaktu merasmikan mesyuarat agung pertama Perkasa di Dewan Tun Razak 1, PWTC 27 Mac lalu, pada hemat saya dua perkara perlu diberi perhatian khas. Pertama "pengakuan" (sindiran?) beliau bahawa "orang Melayu kurang pandai berhujah" untuk mempertahankan haknya.

Kedua, beliau menyarankan supaya satu kajian yang menyeluruh dilakukan untuk mengetahui kedudukan sebenar bangsa Melayu dari segi pemilikan harta dan sumber-sumber ekonomi serta kemudahan-kemudahan sosial yang lain.

Kata Tun Mahathir sebagaimana saya catat verbatim: "Marilah kita buat perhitungan (auditing) apa yang telah dimiliki oleh orang Melayu berbanding apa yang dimiliki oleh bukan Melayu. Kita buat satu study tentang kedudukan orang Melayu."

Mengenai kekurangan upaya orang Melayu untuk berhujah itu, dengan nada bergurau Tun Mahathir menyindir: "Kes (perbicaraan) mahkamah sesama orang Melayu pun kadang-kadang terpaksa bergantung kepada peguam-peguam bukan Melayu."

Secara tidak langsung beliau menyatakan bahawa dalam percaturan politik antara kaum di negara ini sekarang, bila ada pihak lain menuduh Melayu dengan pelbagai tuduhan, jawapan yang diberikan oleh orang Melayu terhadap tuduhan-tuduhan itu tidaklah begitu jitu.

Demikian pula, bila ada pihak-pihak tertentu yang membuat tuntutan-tuntutan yang "melampau dan biadab", reaksi orang Melayu lebih banyak diam dan bertolak angsur.

Walaun pun tidak disebut secara eksplisit oleh Tun Mahathir, pada pendapat saya adalah lebih menyayat (menjijikkan?) lagi bila di kalangan sesetengah "bijak pandai" Melayu sendiri sejak akhir-akhir ini sudah menjadi satu "kebanggaan" untuk mengutuk dan menggodam bangsa sendiri atau memperlekeh dasar-dasar tertentu yang dianggap menguntungkan Melayu tanpa pemahaman yang mendalam tentang latar belakang dan rasional dasar berkenaan.

No comments:

Post a Comment